Berita Semasa

Pesawat FA-50M buatan Korea dijangka tiba suku ketiga 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menjangkakan dua daripada 18 buah pesawat pejuang FA-50M yang ditempah dari Korea Aerospace Industries (KAI) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterima pada suku ketiga tahun 2026.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembinaan kesemua pesawat yang diperolehi melalui nilai perolehan sebanyak RM3.8 bilion itu kini berada pada tahap 26.7 peratus.

Katanya, berdasarkan jadual perolehan, baki 16 lagi pesawat akan diterima secara berperingkat-peringkat sehingga penhujung 2027.

“Nilai perolehan (pesawat) ialah RM3.8 bilion, berdasarkan perancangan TUDM iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Ia mensasarkan perolehan pesawat platform tunggal dua tempat duduk yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk tujuan latihan bakal juruterbang pejuang dan juga sebagai pesawat tempur ringan (LCA) bagi keperluan operasi.

“Berdasarkan perancangan, LCA akan digunakan hingga 2045 berdasarkan polisi dasar casting, pesawat pejuang serta akan melalui program mid-life upgrade iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FA-50M bagi kegunaan TUDM.

Pada penganjuran pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM membabitkan varian FA-50 Block 20.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button