Berita Semasa

MCMC cadang lesenkan penyedia perkhidmatan atas talian

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang dalam proses melengkapkan dan memperhalusi cadangan penguatkuasaan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan dalam talian

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet (Internet Messaging Services) yang terbuka kepada pengguna dalam Malaysia mengikut kriteria penilaian yang akan ditetapkan.

“Cadangan penguatkuasaan pelesenan yang bersasar ini juga dianggap sepadan (proportionate) memandangkan ketersediaan kandungan mudarat yang tinggi di dalam platform media sosial dan pemesejan internet.

“Langkah cadangan kawal selia ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam talian (online safety) serta menangani kandungan yang bertentangan dengan perundangan negara. Ia juga seiring dengan pendekatan dan perkembangan global semasa dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli mengenai keputusan kementerian dalam mewajibkan kesemua penyedia perkhidmatan media sosial untuk berdaftar dengan MCMC selain bagaimana mereka memastikan ia tidak menyekat kebebasan media.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa pelaksanaan pelesenan ini akan meningkatkan tahap perlindungan pengguna, terutamanya pengguna perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan permesejan internet daripada terdedah kepada penipuan dalam talian dan kandungan mudarat dalam talian.

Selain itu, mereka dapat menikmati perkhidmatan dalam talian dengan persekitaran yang selamat dan boleh dipercayai daripada pihak penyedia perkhidmatan dalam talian.

Show More

Related Articles

Back to top button