Berita Semasa

Industri padi, beras tempatan akan distruktur semula – KPKM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan satu skim baharu bagi menstruktur semula industri padi dan beras tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini pihaknya sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak yang berkepentingan dan perincian skim berkenaan akan diumum dalam masa terdekat.

“Kita sedang melakukan libat urus secara intensif bersama petani dan persatuan peladang. Semua memberi pandangan masing-masing. Semua itu kita akan umumkan dalam dua tiga hari ini mengenai satu skim baharu.

“Ia satu (pelan tindakan) jangka panjang yang lebih kepada penstrukturan semula industri beras dan padi negara.

“Semuanya akan kita buat libat urus termasuk dengan ahli Parlimen supaya semua memberi pandangan kerana ini masalah negara, bukannya parti mana, bukan masalah kaum.

“Ia masalah negara yang memerlukan tuntutan bersama,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mahu KPKM menjelaskan tindakan luar biasa bagi menangani isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang sukar didapati di pasaran ketika ini.

Mohamad berkata, KPKM merancang tindakan menyusun semula industri beras dan padi negara kerana akan timbul polemik yang berterusan sekiranya stok beras negara tidak mencukupi.

Jelasnya, pengeluaran BPT dalam negara berada pada kadar 62 peratus, namun penggunaan tinggi dalam kalangan pelbagai pihak seperti badan zakat, kontrak kerajaan, hospital, balai polis, sekolah, asrama menyebabkan hanya 50 peratus bekalan yang tinggal untuk diedarkan di pasaran awam.

“Masalah bekalan menjadi masalah buat sementara dan kita kena susun semula. Penyusunan industri beras dan padi ini dilakukan pada 1980-an dahulu yang mana lahirnya Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan sebagainya.

“Tahun ini, kita akan buat penyusunan baharu dan akan diumum tidak lama lagi,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button