Sukan

Boleh adakan Sukan Komanwel 2026, tapi jangan hanya tumpu di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Malaysia disaran mengadakan Sukan Komanwel 2026 di negeri-negeri yang memiliki fasiliti sedia ada dan tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur, sekiranya menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi penganjuran kejohanan berprestij tinggi itu.

Menurut Senator Datuk Hisamudin Yahaya, cadangan itu sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan berbanding membina stadium dan pusat sukan yang baharu.

Jelas Hisamudin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kerajaan juga digalakkan untuk mengehadkan acara sukan yang dipertandingkan dan mengambil peluang untuk menerima tawaran CGF bagi menganjurkan kejohanan tersebut.

“Kalau tolak peluang yang ada ini, negara kita akan kerugian tetapi pada saya, kita boleh terima dengan syarat acara kita hadkan.

“Jadi untuk menyelamatkan Sukan Komanwel ini, kita kena ada semangat kerana kita antara negara Komanwel dan saya amat yakin jikalau mungkin daripada 21 acara, mungkin 18 acara dianjurkan bagi memastikan Sukan Komanwel ini berjalan di Malaysia menggunakan fasiliti yang ada,” katanya ketika mencelah kenyataan Senator A. Kesavadas pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara semalam.

Terdahulu, Kesavadas mencadangkan supaya kerajaan menolak tawaran penganjuran Sukan Komanwel 2026 susulan keadaan ekonomi negara yang masih tidak mengizinkan ketika ini.

Beliau berkata, penganjur Sukan Komanwel Birmingham 2022 di United Kingdom masih menanggung kerugian sebanyak RM4.6 bilion serta berharap Kementerian Belia dan Sukan mengambil iktibar dan menolak tawaran itu.

Sebagai rekod, CGF menawarkan Malaysia untuk menganjurkan sukan itu menggantikan Victoria dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta).

Show More

Related Articles

Back to top button