Berita SemasaPM X

[VIDEO] Kejayaan lawatan rasmi ke Jerman adalah hasil usaha kerja berpasukan kakitangan awam – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan lawatan rasmi beliau selama enam hari ke Jerman tidak akan dapat dicapai tanpa hasil kerjasama berpasukan kakitangan perkhidmatan awam.

Kata Anwar, beliau menginsafi peranan penjawat awam yang banyak bertungkus lumus di belakang tabir dalam mendatangkan hasil positif buat negara.

@malaysiatribune

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan lawatan rasmi beliau selama enam hari ke Jerman baru-baru ini tidak akan dapat dicapai tanpa hasil kerjasama berpasukan kakitangan perkhidmatan awam. Kata Anwar, beliau menginsafi peranan penjawat awam yang banyak bertungkus lumus di belakang tabir dalam mendatangkan hasil positif buat negara. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Ini bukan soal Anwar, sebab sebelum itu dia (Jerman) tahu tentang pentadbiran kita. Usaha jabatan-jabatan seperti MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan Kementerian Luar dan kementerian lain yang membuat beberapa persiapan awal.

“Saya selalu insaf bahawa sebagai kerjasama sepasukan termasuk penjawat awam (ia) sangat penting kerana keyakinan mereka. Sekarang bila dia nilai, dia kata jauh lebih cekap, keputusan lebih cepat dan tidak berlaku ketirisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac tahun 2024, di sini hari ini.

Tambahnya, dalam lawatan sulung beliau ke Jerman dari 10 Mac lalu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama kapten-kapten industri dan syarikat besar yang bersetuju untuk melabur segera di Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan tersebut merangkumi aspek pelaburan, kerjasama teknikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keupayaan latihan kejuruteraan selain perbincangan bersama pemimpin negara berkenaan.

Tambahnya, pandangan mereka terhadap dasar kerajaan, kepimpinan negara dan penjawat awam sangat positif.

Sehubungan itu, Perdana Menteri bersyukur dan menzahirkan rasa bangga dengan semangat penjawat awam sehingga menerima sambutan luar biasa.

“Saya ‘provoke’ (memprovokasi) (pelabur), macam mana, lambat tak (urusan)? Ada masalah? Ada kena beri komisen macam biasa? Semua saya tanya dan dalam perbincangan tertutup itu, mereka beri jawapan sangat baik, sangat melegakan saya yang menunjukkan keupayaan kita. Kalau ini semangat kita, kita boleh melonjakkan ekonomi kita, saya yakin.

“Dalam simpang siur politik ini tidak ada yang baik, semuanya jelek belaka, tetapi percayalah, kita lihat angka dan data, belum ada pelaburan yang setinggi ini dalam sejarah kita, belum ada sambutan dan dukungan media antarabangsa secara positif terhadap pengucapan kita dan dasar kita sebelum ini,” katanya.

Semasa di Berlin, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz, Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck, selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.

Show More

Related Articles

Back to top button