TalentCorp lancar LiKES sokong penempatan latihan industri
KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan Inisiatif Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) bagi membantu menyokong penempatan latihan industri berstruktur dan mampan dalam PKS dan syarikat baharu di Malaysia.
Majlis pelancaran inisiatif tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam satu majlis, di sini hari ini.
Steven dalam ucapan perasmiannya berkata, geran padanan melibatkan peruntukan berjumlah RM30 juta tersebut adalah bagi memupuk persekitaran kerja yang mesra latihan industri terutamanya dalam sektor PKS.
“Buat pertama kalinya, kerajaan memperkenalkan geran padanan latihan industri untuk menyokong sektor PKS dan syarikat pemula bagi memastikan lebih ramai majikan mengambil bahagian dalam usaha membina negara secara kolektif untuk memupuk bakat muda negara,” kata Steven.
Beliau menambah, LiKES seperti inisiatif TalentCorp yang lain, akan membantu memastikan kesediaan kerja dan menjaga kebajikan dengan menawarkan elaun semasa tempoh latihan.
“Ia turut akan membantu mempertingkatkan latihan industri untuk PKS yang membentuk 97 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia, dan menyumbang 48.2 peratus kepada pekerjaan negara pada 2022,” katanya lagi.
LiKES merupakan salah satu komponen di bawah satu ekosistem besar iaitu Insentif Latihan Amali (ILHAM) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang merangkumi 4 komponen utama termasuk Dasar Latihan Industri Berstruktur, Program Levi ITS HRD Corp, serta program-program sokongan seperti MyNext oleh TalentCorp dan sebagainya.
Geran tersebut merangkumi tempoh latihan sehingga 6 bulan dan dibuka untuk permohonan oleh PKS dan syarikat pemula yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pemohon yang berkelayakan perlu menawarkan penempatan latihan sekurang-kurangnya selama 10 minggu dan menyediakan elaun minimum latihan industri seperti yang telah digariskan.