Berita Semasa

Stoking kalimah Allah sentuh sensitiviti Islam, YADIM gesa tindakan diambil

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memandang serius terhadap isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di salah satu kedai serbaneka rantaian KK Mart, baru-baru ini.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kes ini perlu dicegah lebih awal di peringkat penguatkuasaan kerana ia menyentuh isu sensitiviti umat Islam bahkan unsur penghinaan terhadap agama Islam sebagai agama persekutuan negara.

“Bagi maksud ini YADIM yakin akan keupayaan agensi penguatkuasa sedia ada untuk menangani dan membendung kejadian ini daripada terus membarah. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kompetensi yang cukup diyakini mampu mengawal perkara ini daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan individu dan kelompok tertentu.

“Namun begitu YADIM tetap melihat perkara ini perlu dinilai dan dikaji secara menyeluruh dalam setiap proses aktiviti rantaian bekalan. Penelitian harus bermula dari sudut pembangunan produk, bekalan, pengilangan, import dan eksport, kelulusan penjualan sehingga ke peringkat penjualan di premis dan kedai-kedai di negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap tahap pendidikan masyarakat dan perasaan umat Islam yang cukup sensitif dalam bab kesucian agama Islam yang wajib dipelihara.

Beliau turut menyokong hasrat umat Islam Malaysia agar segala bentuk pembekalan produk dan reka cipta barangan perlu diteliti dan diperhalusi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Sehubungan itu, beliau memohon setiap peringkat masyarakat supaya tidak membelakangi undang-undang dalam memberikan tindak balas berkait isu tersebut, sebaliknya mendoakan agar isu ini selesai dengan penuh tertib dan melalui proses undang-undang negara yang penuh dengan tatasusilanya.

Show More

Related Articles

Back to top button