Agama

Stoking kalimah Allah: KK Mart perlu lebih sensitif atau berdepan tindakan boikot – Pemuda Amanah

KUALA LUMPUR – Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di tiga cawangan KK Mart tidak harus dipandang ringan kerana telah melanggar sensitiviti agama di negara ini, kata Pemuda Amanah.

Pengarah Komunikasinya, Asim Abdullah Ainullotfi berkata, pengilang, pengedar mahupun peruncit perlu lebih sensitif terhadap isu-isu agama, terutamanya berkaitan dengan kalimah Allah.

“Hal ini adalah penting dalam mengekalkan keharmonian agama di Malaysia. Pemuda Amanah menyeru KK Mart dan mana mana syarikat lain perlu mengambil pendekatan yang lebih berhemah dalam pengurusan produk-produk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pemuda Amanah mengambil maklum KK MART telah memohon maaf mengenai isu tersebut, namun ingin mengingatkan setiap tindakan syarikat akan disorot dan boleh memberi impak yang besar terhadap reputasi mereka.

“Oleh itu, penting bagi syarikat-syarikat untuk lebih berhati hati dan menghormati nilai-nilai agama tempatan dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengelakkan kemungkinan konflik dengan pelanggan mereka,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Pemuda Amanah ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk memperkuatkan undang-undang yang berkaitan dengan perlindungan sensitiviti agama, termasuk dalam bidang perniagaan.

“Langkah-langkah undang-undang yang lebih tegas akan memberi isyarat yang jelas kepada syarikat-syarikat bahawa pelanggaran sensitiviti agama akan diambil tindakan dengan serius,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button