Berita Semasa

Dewan Rakyat lulus pindaan AUKU, benarkan pelajar terima sumbangan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan terbaharu pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melalui undian suara.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, pindaan itu bertujuan menggantikan seksyen 15A Akta 30 yang membenarkan pungutan wang dan penerimaan wang serta sumbangan lain oleh Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar universiti yang ditubuhkan.

Katanya, rang undang-undang yang dicadangkan tersebut memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada mahasiswa dalam menguruskan aktiviti dan persatuan mereka sendiri terutamanya dalam pengurusan kewangan.

“Terdapat perkara yang tidak memerlukan pindaan kepada AUKU dan boleh dilaksanakan secara pentadbiran. Sebagai contoh, perjalanan urusan pilihan raya kampus telah diserahkan sepenuhnya kepada pelajar.

“Berdasarkan kepada aspirasi pelajar untuk menguruskan kewangan persatuan mereka sendiri, terdapat seksyen-seksyen dalam AUKU yang tidak membenarkan perkara itu. Maka, melalui RUU ini, insya-Allah aspirasi mahasiswa kita dapat direalisasikan”, katanya dalam Dewan Rakyat.

Katanya, sejak penubuhannya, AUKU telah berperanan penting dalam mengatur tadbir urus universiti awam di Malaysia, namun pindaan-pindaan terkini bukan sekadar penambahbaikan, tetapi juga merupakan langkah progresif dalam meningkatkan kemandirian mahasiswa, terutama dalam pengurusan kewangan persatuan mereka.

Jelasnya, salah satu aspek utama pindaan tersebut adalah pemberian kuasa kepada Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar untuk memungut wang dan menguruskan kewangan persatuan mereka sendiri, dengan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang berkuat kuasa.

Ujarnya, langkah ini dianggap sebagai progresif dalam memberikan autonomi kepada mahasiswa untuk menguruskan hal ehwal kewangan persatuan tanpa banyak sekatan daripada pihak pentadbiran universiti.

“Bagaimanapun, pindaan kepada Seksyen 15A ini masih tidak membenarkan pelajar atas kapasiti individu untuk terlibat dengan aktiviti pungutan wang atau penerimaan wang atau apa-apa sumbangan lain melainkan jika tindakan tersebut dibuat atas nama atau bagi pihak MPP atau mana-mana badan pelajar universiti,” katanya lagi.

Selain itu, katanya, langkah-langkah lain yang dicadangkan termasuk pemindahan kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib daripada naib canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar, serta kelanjutan tempoh keahlian Majlis Perwakilan Pelajar berikutan dari pengalaman cabaran pandemik seperti COVID-19 sebelum ini.

Show More

Related Articles

Back to top button