Agama

Stoking tertera kalimah Allah bukan isu remeh – Menteri Agama

PUTRAJAYA – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar menegaskan isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart baru-baru ini bukan isu yang boleh diremehkan.

Sebaliknya, Mohd Na’im berkata, isu tersebut adalah satu perkara yang serius kerana telah menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia lebih-lebih ia berlaku pada bulan Ramadan.

“Ada yang kata kita tidak boleh terlalu sensitif dengan isu ini. Tidak boleh sebab Allah itu satu kalimah yang sangat tinggi di mata orang Islam dan meletakkan Allah itu di kaki adalah satu penghinaan yang tidak boleh diremehkan,” katanya.

Beliau ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud di sini hari ini.

Semalam, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Mohd Nai’im yang turut melahirkan rasa sedih berhubung kejadian terbabit berkata,
pihaknya sedia maklum berhubung permohonan maaf tersebut.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pihak KK Mart agar mengambil iktibar atas kejadian itu dan berharap perkara yang sama tidak berulang di masa hadapan.

“Mana-mana jabatan dalam KK Mart kena tengok dahulu barang-barang yang ingin dijual sebab kadang perkara yang sensitif ini sukar untuk dimaafkan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memanggil KK Mart bagi meminta penjelasan dengan lebih lanjut.

“Pihak KK Mart perlu terangkan kepada Jakim nanti untuk beri kenyataan secara rasmi dan beri penjelasan berhubung penjualan stokin tersebut,” katanya.

Sementara itu, Menteri Agama turut mengingatkan rakyat Malaysia agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button