Berita Semasa

KKM larang penjualan produk coklat jenama Slymchoco atau Slymochoco

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan produk coklat berjenama Slymchoco atau Slymochoco selepas ia dikesan mengandungi racun berjadual Sibutramine iaitu sejenis sebatian kimia yang bertindak sebagai pemendam rasa lapar atau selera makan.

KKM berkata, semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diminta untuk menghentikan penjualan serta merta dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat bagi tujuan penyitaan.

“Sibutramine didapati mempertingkatkan risiko kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok terhadap pesakit obes yang mengambil ubat berkenaan. Justeru, KKM memutuskan Sibutramine sebagai bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

“Antara kesan sampingan Sibutramine yang dilaporkan termasuk gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju walaupun dalam keadaan rehat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, KKM mengingatkan Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan produk tersebut serta merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Tambah KKM, mana-mana individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun boleh disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Show More

Related Articles

Back to top button