Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Ini kali kedua Google salah siar kadar tukaran ringgit dan USD – Bank Negara

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyelar platform carian Google atas penyiaran data yang tidak tepat mengenai kadar pertukaran matawang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) untuk kali kedua.

Menurut kenyataan BNM, kadar pertukaran yang disiarkan melalui media sosial berdasarkan pada kadar pertukaran USD/MYR yang salah telah dikeluarkan oleh Google pada semalam.

“Kadar pertukaran USD/MYR pada 15 Mac adalah 4.7015 pada pukul 9 pagi dan 4.7045 pada pukul 5 petang, dengan kadar intrahari tertinggi mencapai 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang telah diterbitkan di laman web rasmi BNM,” kata kenyataan itu.

BNM juga menyatakan bahawa sepanjang dua minggu lalu, dari 1 hingga 15 Mac 2024, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding USD.

“Ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data yang tidak tepat mengenai kadar pertukaran USD/MYR pada tahun 2024,” tambahnya.

“BNM telah menghantar surat peringatan kepada Google selepas kejadian pertama pada 6 Februari 2024,” katanya.

Selanjutnya, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca kelalaian ini serta langkah-langkah pembetulan yang telah diambil.

Sementara itu BNM menasihati orang ramai untuk merujuk kepada data rasmi berkaitan dengan kadar pertukaran ringgit berbanding USD, termasuk data yang disediakan oleh BNM.

“Orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan daripada menggunakan, menyebarkan, atau membuat spekulasi berdasarkan sumber yang tidak disahkan berkaitan dengan ringgit.

“Kadar pertukaran merupakan data yang sensitif dan sebarang laporan yang tidak tepat atau penyebaran data yang tidak disahkan boleh memberi implikasi serius kepada pasaran kewangan,” jelas kenyataan tersebut.

Pada 15 Mac, Google melaporkan tukaran ringgit kepada USD pada kadar terendah sepanjang sejarah, iaitu RM4.98 berbanding USD1, yang telah menimbulkan spekulasi dan kebimbangan awam, walaupun pada hakikatnya ringgit sedang mengukuh.

Show More

Related Articles

Back to top button