Berita Semasa

Paip gas : Kementerian Kerja Raya arah PLUS hantar laporan penuh

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya mengarahkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyediakan laporan lengkap berhubung kerja-kerja berkaitan paip gas bawah tanah di Kilometer 14.4 Lebuhraya Elite yang didakwa mengundang risiko kepada orang ramai.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan di Facebook hari ini memberi jaminan bahawa isu yang melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam tidak akan dipandang ringan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan PLUS menyediakan laporan untuk mengetahui sekiranya benar dakwaan kerja-kerja pembinaan paip di kawasan itu tidak mematuhi piawaian atau melanggari syarat keselamatan.

“Saya amat memandang serius perkara ini dan telah mengarahkan pihak PLUS Malaysia memberi laporan lengkap dan penuh kepada saya pada kadar segera,” katanya.

Nanta berkata demikian susulan pendedahan aktivitis masyarakat, Lando Zawawi mengenai kerja ‘pipe jacking’ yang dilakukan oleh syarikat minyak dan gas milik kerajaan.

Dalam pendedahan itu, kerja-kerja yang dilakukan dikatakan telah ‘bertembung’ dengan struktur tiang lebuh raya yang akan menyebabkan syarikat GLC berkenaan perlu melepaskan gas yang bagaimanapun tidak dibenarkan pihak PLUS.

“Saya memuji usaha saudara Lando kerana sentiasa peka kepada sebarang isu terkait keselamatan pengguna jalan raya. Thank you, brother!,” katanya.

Tangkap layar pendedahan Lando Zawai mengenai isu paip gas di Lebuh Raya Elite yang dikongsikan oleh Nanta Linggi.

Bagaimanapun, selepas isu itu dilaporkan, PLUS telah mengeluarkan kenyataan bahawa laluan itu selamat untuk digunakan.

“Jururunding PLUS telah membuat penilaian dan hasil siasatan mendapati laluan di KM 14.4 di Lebuhraya Elite adalah stabil dan selamat digunakan oleh pengguna.

“Pada masa sama, PLUS telah memulakan kerja-kerja pembaikan sejak bulan Januari 2024 dan akan mengadakan pemantauan berterusan di lokasi tersebut,” menurut PLUS.

Kenyataan PLUS itu dikritik Lando kerana disifatkan masih ‘mentah’ mengambil kira keselamatan orang ramai apabila paip gas itu beroperasi kelak.

“Saya mohon #PLUS dengar amanat YB Menteri KKR. Siapkan semua laporan dan hantar pada dia. Bukan press release PR macam ni. Apapapun terima kasih kerana memberi perhatian,” katanya.

Kenyataan PLUS susulan isu paip gas di Lebuh Raya Elite yang dikongsikan oleh Lando Zawawi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button