Berita Semasa

Tiada peruntukan dari MITRA diguna untuk bayar PEMANDU – Menteri Perpaduan

PUTRAJAYA – Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menafikan dakwaan bahawa bayaran fi kepada sebuah firma perunding PEMANDU Associate (PEMANDU) menggunapakai peruntukan daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Beliau berkata, bayaran fi kepada firma ini adalah melalui peruntukan operasi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan mengikut tatacara kewangan sedia ada iaitu Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

“Saya juga ingin menafikan juga dakwaan bahawa PEMANDU akan mengendalikan proses penelitian permohonan, bantuan kewangan dan agihan peruntukan MITRA.

“Penglibatan PEMANDU adalah hanya untuk melaksanakan bengkel dan lab yang akan memudahcara urusan kementerian berhubung perancangan strategik dan hala tuju MITRA bagi menghasilkan blueprint MITRA,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menafikan bahawa penglibatan firma PEMANDU ini menenggelamkan peranan Ahli Parlimen Batu, Prabakaran selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA

Katanya, ini kerana Pengerusi JPPK MITRA itu telah turut terlibat sama dalam dua perbincangan bersama PEMANDU sebelum ini.

Sementara itu, katanya, kementerian juga sedang menjalankan Kaji Selidik Hala Tuju Masyarakat India.

Beliau berkata, setakat ini, hanya empat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri telah mengisi borang kaji selidik.

“Segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam kaji selidik ini akan diangkat untuk dimurnikan dalam bengkel hala tuju.

“Saya mohon agar Yang Berhormat mengambil bahagian dalam kaji selidik ini dengan memberikan pandangan, cadangan dan idea berhubung hala tuju MITRA,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button