Jenayah & Mahkamah

Polis siasat dakwaan 2 anggota trafik lakukan peras ugut

JOHOR BAHARU – Polis Johor sedang menyiasat dua video tular di media sosial yang membabitkan dua anggota trafik melakukan peras ugut.

Ketua Polis Johor, Komisioner, M.Kumar berkata, video terbabit telah dimuat naik semalam melalui laman sosial Facebook yang menggunakan identiti Sage dan Irene Teo.

Katanya, hantaran video tersebut turut diulas pada 11 Mac lalu melalui satu artikel oleh laman sesawang Mothership,

“Melalui hantaran yang tular, dipercayai penama Irene Teo telah diarah untuk membayar sejumlah 142 dolar Singapura kepada dua anggota polis dari bahagian trafik di bangunan Sultan Iskandar di Johor Baharu bagi mengelakkan tindakan saman di atas kesalahan masuk ke lalulan salah, arah ke Singapura pada 10 Mac jam 8.15 malam yang lalu.

“Siasatan telah dijalankan dibawah seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atan mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, pihak polis masih belum menerima sebarang laporan dibuat oleh mangsa berhubung insiden tersebut.

Pada masa sama katanya, permohonan rasmi telah dibuat ke Pejabat Konsulat Singapura di Johor Baharu untuk mengesan pemilik akaun Facebook Sage dan Irene Teo bagi membantu siasatan.

Sementara itu katanya, Polis Johor komited dalam usana memerangai masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis.

“Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” tambah beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button