Berita Semasa

YADIM puji Hannah Yeoh berselendang, saran pakaian sopan diangkat sebagai kod etika berpakaian

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memuji keputusan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengenakan selendang semasa di Universiti Monash sempena lawatan delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melbourne, Australia minggu lalu.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, langkah beliau yang
memilih untuk memberi keutamaan kepada ketepatan masa berbanding urusan pakaian, kerana tidak mahu terlambat untuk pertemuan dengan Universiti Monash dan Perdana Menteri sejurus selepas pertemuan di Al-Takwa College, Melbourne perlu dicontohi.

“YADIM melihat keputusan ini suatu yang terpuji dan perlu dicontohi dari
sudut memberi keutamaan (aulawiyat) kepada satu perkara yang lebih besar
iaitu menepati masa, menghormati tetamu dan temujanji.

“Dalam konteks yang lebih luas dan masa hadapan, YADIM menyokong agar
pakaian yang bercirikan kesopanan dapat diangkat menjadi sebahagian daripada kod etika berpakaian. Kerajaan sebelum ini telah membuat pembaharuan dengan membenarkan pakaian kemeja lelaki tanpa tali leher sebagai sebahagian daripada pakaian rasmi.

“YADIM juga berharap agar pada masa hadapan masyarakat Malaysia akan
lebih jelas dalam isu seperti ini antara keperluan menjaga hubungan dan
hormat dengan kepercayaan serta pegangan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Dalam pada itu katanya, YADIM menggesa supaya berpakaian sopan di khalayak ramai hendaklah menjadi amalan bersama, bukan hanya dalam kalangan umat Islam bahkan
seluruh rakyat Malaysia.

Pada masa sama, YADIM turut mengajak masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama agar lebih objektif, berfikiran terbuka, menjauhi prasangka serta cepat membuat kesimpulan dan hukuman dalam memberi komen terhadap insiden seperti ini.

Katanya, ini kerana pakaian tersebut tidak menggambarkan simbol keagamaan tetapi melambangkan kesopanan dan tertib serta hormat sesuatu majlis yang merupakan cerminan ketinggian keperibadian insan rakyat Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button