Berita Semasa

MCMC jalin kerjasama dengan Maktab PDRM hadapi ancaman jenayah siber, narkotik

CHERAS – Bagi membentuk kerjasama strategik dalam Pembangunan Kapasiti Jenayah Siber dan Narkotik, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MoU yang ditandatangani Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din itu bertujuan untuk meningkatkan kepakaran dan pengetahuan dalam siasatan dan penguatkuasaan di kedua-dua bidang tersebut.

Jelas Fahmi, kerjasama ini akan memperkuat perkembangan bakat terutama di sektor komunikasi dan multimedia, serta menggerakkan arah pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

“Kerjasama ini akan memperkukuh pembangunan bakat khususnya dalam industri komunikasi dan multimedia, seterusnya memacu ke arah ekonomi yang lebih mampan,” katanya pada Majlis PDRM ‘Special Dialogue 2024’ di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Antara isi terkandung MoU termasuk kerjasama dalam inisiatif pembangunan kapasiti siasatan dan penguatkuasaan, penyediaan kepakaran melalui penglibatan pegawai MCMC dan PDRM sebagai pensyarah di dalam latihan dan penyelidikan, serta penempatan silang dan rentas fungsi untuk pegawai kedua-dua agensi tersebut.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, MCMC turut komited untuk membantu menaik taraf capaian rangkaian di Maktab PDRM melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Peningkatan ini dijangka memberi manfaat kepada anggota-anggota polis, terutama yang mengikuti latihan serta kursus di Maktab PDRM Kuala Lumpur,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button