Berita Semasa

KBS lancar Program Senamrobik Komuniti

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Program Senamrobik Komuniti bagi membudayakan sukan dan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat terutamanya di peringkat komuniti, termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Bermula dengan Kuala Lumpur, sebanyak 43 PPR/PA dipilih sebagai lokasi program yang akan diadakan secara mingguan dari Mac hingga Disember 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program ini diharapkan dapat menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua, termasuk golongan wanita dan warga emas seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).

“Kita adakan program percuma ini untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan cergas, dan pada masa yang sama membudayakan semangat bersukan,” kata Hannah.

Hannah Yeoh bersama-sama orang ramai pada Program Senamrobik Komuniti di Cheras, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sejurus merasmikan pelancaran program tersebut, di Cheras, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad.

Bagi program ini, kata Hannah, kementeriannya memperuntukkan dana berjumlah RM430,000.

“Dengan pengisian aktiviti kecergasan seperti ini, kita turut berharap ia dapat mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti serta bertindak sebagai langkah intervensi sosial bagi mengelakkan gejala negatif terutamanya melibatkan belia dan anak muda.

“Pada masa yang sama, program ini dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta serta penglibatan NGO (pertubuhan bukan kerajaan),” kata Hannah lagi.

Hannah Yeoh pada Program Senamrobik Komuniti di Cheras, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button