Berita Semasa

MOTAC batalkan lesen Emraz Travel

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa pada 11 Mac ini.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pembatalan lesen Syarikat tersebut adalah selaras dengan perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

“Pembatalan lesen Syarikat ini adalah kerana syarikat itu didapati telah melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2 April tahun lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji susulan aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang ditawarkan syarikat terbabit.

Sekitar November tahun lalu, pihak polis menerima ratusan laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan syarikat itu.

Setakat ini, dua pengarah syarikat berkenaan yang juga sepasang suami isteri telah dihadapkan ke mahkamah bagi kes berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button