Jenayah & Mahkamah

Lelaki didakwa tolak kekasih dari tingat 23 kondominium akan dituduh di mahkamah esok

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang dipercayai menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, Shah Alam pada 28 Februari lalu akan didakwa atas pertuduhan membunuh, esok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam.

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh wanita warga Thailand yang berusia 32 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, suspek berusia 37 tahun itu direman selama tujuh hari dan kemudian perintah reman itu dilanjutkan dua hari lagi sehingga 8 Mac, bagi membantu siasatan.

Pada hari kejadian, penduduk kondominium itu terdengar pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mendakwa melihat wanita itu ditolak dari tingkat 23 dan jatuh ke tingkat tujuh.

Mohd Iqbal berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10.02 malam sebelum pihaknya menahan suspek lapan minit kemudian di lokasi kejadian.

Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek katanya, mendapati dia positif kanabis.

Hasil semakan juga mendapati pemandu lori itu mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah.

Show More

Related Articles

Back to top button