Berita Semasa

Ops Kesan: 3,460 premis perniagaan diperiksa, 167 notis dikeluarkan

DENGKIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah mengeluarkan sebanyak 167 notis ke atas peniaga yang membuat penyelarasan harga tidak munasabah sejak bermulanya Ops Kesan pada 1 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan sejumlah 3,460 premis di seluruh negara.

“Kita syaratkan empat hari untuk mereka yang diserah notis terbabit, memberi penjelasan kepada KPDN. Mulai hari ini, kita akan menerima jawapan daripada premis yang sudah dikeluarkan notis pada 1 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kampung Fresh Market Sdn Bhd, di sini hari ini.

Sebelum ini, Armizan dilaporkan sebagai berkata, KPDN melancarkan Op Kesan bagi memantau implikasi pelaksanaan kenaikan kadar cukai perkhidmatan (SST) supaya tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Untuk rekod, bermula 1 Mac lalu, kadar SST dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Ketika ditanya mengenai jumlah aduan daripada orang ramai dalam tempoh yang sama, Armizan berkata, pihaknya hanya menerima sebanyak enam aduan setakat semalam.

“Saya fikir inilah keberkesanan apabila kita melaksanakan Op Kesan kerana kita boleh melihat sendiri dan mengambil tindakan secara langsung,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button