Berita Semasa

LKAN: 10 Agensi Persekutuan punyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan bagi 2022 menunjukkan 10 Agensi Persekutuan mempunyai baki pinjaman tertinggi berjumlah RM122.388 bilion.

Berdasarkan LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, sebanyak empat daripada 10 agensi tersebut mempunyai baki pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.338 bilion, manakal tiga daripada empat Agensi Persekutuan tersebut telah menjadualkan semula tempoh bayaran balik pinjaman.

Selain itu, sebanyak 80 Agensi Persekutuan mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM54.677 bilion dan 50 Agensi Persekutuan merekodkan kurangan semasa berjumlah RM4.570 bilion.

“126 Agensi Persekutuan mempunyai jumlah aset lebih tinggi berbanding jumlah liabiliti manakala empat Agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset.

“86 Agensi Persekutuan menerima geran mengurus dan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM27.034 bilion, manakala 83 Agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan terkumpul yang belum dilunaskan berjumlah RM25.535 bilion.

“53 Agensi Persekutuan mempunyai 234 syarikat subsidiari dengan nilai pelaburan berjumlah RM56.128 bilion. Daripada jumlah tersebut, 212 syarikat subsidiari berstatus aktif manakala 22 syarikat subsidiari berstatus dorman,” kata Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Dalam pada itu, laporan itu turut menunjukkan sebanyak 121 syarikat subsidiari mencatatkan keuntungan manakala 91 syarikat subsidiari mengalami kerugian.

“Hanya 66 daripada 212 syarikat subsidiari yang aktif telah membayar dividen kepada Agensi Persekutuan sejumlah RM1.910 bilion pada tahun 2022,” katanya.

Setakat 11 Januari tahun ini, sebanyak 140 daripada 144 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2022 telah dikemukakan untuk pengesahan Ketua Audit Negara.

Daripada jumlah tersebut, 130 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan tahun 2022 telah selesai pensijilan.

Sebanyak empat Agensi Persekutuan masih belum mengemukakan Penyata Kewangan tahun 2022 disebabkan gangguan rangkaian sistem kewangan dan kelewatan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah.

Show More

Related Articles

Back to top button