Berita Semasa

Tyzo sah sertai IKIMfm Isnin depan

PUTRAJAYA – Penyampai radio, Tyzo Xander semalam mengumumkan akan menyertai stesen radio IKIMfm selepas penamatan kontraknya di Suria FM awal tahun baru-baru ini.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain berkata, beliau terbuka hati untuk menerima tawaran itu selepas mengambil kira ‘perubahan’ positif yang akan dibawa bersama stesen radio berkenaan.

Katanya, berbekalkan pengalaman selama 21 tahun dalam bidang itu, cabaran di IKIMfm yang berkonsepkan Islamik bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk diadaptasi.

Ujarnya, keputusan menerima tawaran itu diputuskan ketika mengerjakan umrah di Mekah, baru-baru ini.

“Baru-baru ini, ketika berada di Makkah, saya asyik teringat-ingat tawaran yang diberikan. Selepas sekian lama lebih kepada hiburan, sekarang cuba untuk berubah.

“Saya akan mula bertugas Isnin depan kerana kontrak saya bersama Suria FM hanya tamat, Sabtu ini,” katanya pada sidang media penjenamaan semula dan pelancaran logo IKIMfm di Dewan Abdullah Al-Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran di sini, semalam.

Di IKIMfm, Tyzo akan mengendalikan segmen Inspirasi Pagi dengan gandingan penyampai asal Suffian Amin dan Luqman Hakim.

Tyzo menyertai dunia penyiaran menerusi stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004.

Dia pernah menyumbang khidmat di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM.

Pada Januari lalu, Suria FM mengumumkan perkhidmatan lapan tahun Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, berakhir atas alasan sebagai strategi untuk tahun 2024.

 

Show More

Related Articles

Back to top button