Berita Semasa

Tiada panggilan kecemasan dari helikopter Maritim Malaysia terhempas

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak menerima panggilan kecemasan dari helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan berkata, rekod penerbangan menunjukkan hubungan terakhir pesawat dengan kawalan trafik udara adalah pada pukul 9.20 pagi.

“Helikopter berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 9.10 pagi bagi latihan penerbangan.

“Namun tiada panggilan kecemasan diterima. Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norazman berkata, semua empat penumpang termasuk juruterbang dalam pesawat model AW139 itu dilaporkan selamat.

“Semua yang terselamat dibawa dengan helikopter penyelamat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada jam 10.58 pagi.

“Siasatan berhubung insiden itu akan dijalankan oleh Maritim Malaysia,” katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, sebuah helikopter dirakam terhempas di perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Angsa oleh sekumpulan pemancing.

Show More

Related Articles

Back to top button