Berita Semasa

Kesesakan zon motosikal di ICQ berpunca gangguan sistem M-Bike

JOHOR BAHRU- Masalah gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar menjadi punca kesesakan luar biasa di Zon Motosikal Kompleks ICQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, insiden gangguan sistem itu berlaku disebabkan oleh kerja-kerja konfigurasi sistem yang dilaksanakan oleh syarikat pengendali baharu yang dilantik bermula 29 Februari lalu.

“Bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan kaunter manual secara maksimum bagi membolehkan pemeriksaan di Zon Motosikal dilakukan secara manual sehingga isu gangguan sistem diatasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, bagi mengatasi masalah itu, JIM sedang mengambil tindakan bagi mengatasi gangguan ini dalam masa terdekat dengan kerjasama pihak syarikat pengendali.

Pada masa sama, beliau menafikan berita tular mengenai dakwaan penamatan kontrak M-Bike disebabkan arahan ‘orang atasan’.

Jelas beliau, perkara itu berlaku berikutan syarikat pengendali terdahulu telah tamat tempoh kontrak dan lantikan syarikat pengendali baharu telah dilaksanakan mengikut prosedur kewangan yang berkuatkuasa.

“Saya menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button