Berita Semasa

Dana Usahawan Madani Selangor dilancar

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor hari ini melancarkan Dana Usahawan Madani Selangor bagi membantu usahawan di negeri tersebut untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dana itu merupakan sebahagian daripada pembaharuan Dana Usahawan Mikro Selangor yang akan menambahkan skopnya untuk meliputi ekonomi kreatif.

Antaranya, Amirudin berkata, industri kreatif multimedia, industri kreatif seni budaya dan industri kreatif warisan budaya.

“Bagi pembaharuan Dana Usahawan Madani Selangor, kita tidak lagi akan mengehadkan bantuan hanya kepada usahawan mikro.

“Jika anda seorang usahawan di Selangor yang berumur antara 18 hingga 60 tahun dan menceburi pelbagai sektor termasuk sektor ekonomi kreatif, dapat menunjukkan track record yang konsisten dari segi pengeluaran dan permintaan serta telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, anda
layak untuk memohon bantuan ini daripada kerajaan negeri yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Tetap Keusahawanan Negeri Selangor serta kerjasama KOHIJRAH,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin yakin bahawa bantuan sebegini dapat membantu pengusaha mikro dan PKS membeli peralatan tambahan supaya dapat mengembangkan perniagaan.

“Bantuan ini bukan terbatas bagi pengusaha-pengusaha di bandar, tetapi juga di kawasan separa bandar.

“Itu merupakan komitmen pentadbiran ini supaya tiada sesiapa yang ketinggalan di bumi Selangor ini, selaras dengan prinsip
Kita Selangor supaya kita dapat Maju Bersama,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button