Berita Semasa

Syarikat milik Mahadi promosi UPC tanpa pegang lesen SC

SHAH ALAM – Syarikat milik usahawan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, AUF MBZ Consortium Plt didapati menjalankan urusan perniagaan dalam aktiviti terkawal dengan mempromosi syarikat awam tidak tersenarai (UPC) tanpa memegang lesen Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

SC dalam satu kenyataan berkata, susulan itu, nama dan syarikat berkenaan telah dimasukkan dalam Senarai Peringatan Pelabur.

“Melalui senarai ini, pihak awam boleh mengenal pasti sama ada individu, entiti berlesen atau berdaftar untuk menawarkan, mempromosikan atau menjual produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia.a

“SC telah menerima beberapa pertanyaan dan aduan daripada pihak awam berhubung aktiviti yang dijalankan oleh beliau dan syarikatnya.

“SC mengambil serius semua aduan yang dikemukakan dan melaksanakan kuasa berkanun termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti dalam menegakkan integriti pasaran modal serta menjaga kepentingan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SC menerusi laman rasmi mengeluarkan kemas kini terbaharu Senarai Peringatan Pelabur yang dikaitkan dengan aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Senarai itu memaparkan nama suami kepada selebriti, Heliza Helmi dan syarikat berserta nombor kad pengenalan dengan peringatan menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen berhubung pemasaran saham Syarikat Awam Tidak Tersenarai.

Tambah SC, orang ramai boleh menggunakan portal Semak Sebelum Labur yang tersedia di laman web https://www.sc.com.my/investment-checker.

 

Show More

Related Articles

Back to top button