Berita Semasa

Taman Awam Kuala Kerteh lokasi baharu tumpuan pengunjung dibuka

KEMAMAN – Taman Awam Kuala Kerteh yang kini menjadi lokasi tarikan baharu untuk penduduk di sekitar di sini untuk beriadah dan berkunjung sambil menikmati pemandangan semula jadi dibuka secara rasmi hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, taman awam itu yang terletak dua kilometer dari Bandar Baru Kerteh iaitu di lokasi strategik pertemuan Muara Sungai Kerteh dan Pantai Kuala Kerteh dibangunkan dengan peruntukan sebanyak RM15.3 juta.

Beliau berkata, projek itu dilaksanakan selama 99 minggu dan siap pada 27 Oktober 2023.

“Pembangunan Taman Awam Kuala Kerteh ini merangkumi tapak seluas 22.16 ekar dengan nilai peruntukan melebihi RM16 juta. Taman ini direkabentuk secara dalaman oleh arkitek landskap dari Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan menerapkan konsep eksplorasi visual.

“Taman Awam Kuala Kerteh kini menjadi pusat eksplorasi keindahan pemandangan di sekitar Pantai Kuala Kerteh. Konsep ini dipilih bersesuaian dengan lokasi taman yang berdekatan dengan tempat tumpuan penggemar aktiviti perikanan terutamanya di jeti perikanan milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taman Awam Kuala Kerteh di sini hari ini.

Selain itu, katanya, taman itu turut menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi untuk orang awam beriadah seperti Menara Pandang yang dibina bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan visual landskap di kawasan pantai Kemaman.

Pada masa sama katanya, turut disediakan ialah padang serbaguna dan dewan terbuka sebagai tempat beriadah bagi golongan remaja dan warga emas untuk menyihatkan tubuh badan.

Beliau berkata, secara keseluruhan, projek taman awam ini mampu memberi manfaat kepada 226,600 orang di
daerah Kemaman khususnya.

Sementara itu, katanya, sehingga Disember tahun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui JLN telah membangunkan sejumlah 60 buah Taman Awam di seluruh negara dan pembangunan Taman Awam Kuala Kerteh ini merupakan taman awam yang keempat dibina di Terengganu, selepas Taman Awam Batu Burok, Taman Awam Lagun Kuala Ibai di Kuala Terengganu dan Taman Awam Teluk Gadung di Dungun.

Pada ketika ini, Kor Ming berkata, pihaknya sedang membangunkan Projek Landskap Perbandaran Dungun yang bernilai RM30 juta dan juga Projek Pemuliharaan Kunang-Kunang Sungai Yak Yah, Kemaman dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.31 juta.

“Secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang disalurkan KPKT menerusi JLN untuk pelaksanaan projek landskap dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Negeri Terengganu sahaja berjumlah RM 56.81 juta,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button