Berita Semasa

KPKT batal 26,108 lesen peniaga sejak empat tahun lalu

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membatalkan sebanyak 26,108 lesen peniaga atas pelbagai pelanggaran syarat lesen dan premis yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh 2022 sehingga 15 Februari lalu.

KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 1,836 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh pihak PBT terhadap premis perniagaan melibatkan warga asing.

Daripada operasi tersebut, sebanyak 384 lesen peniaga tempatan telah dibatalkan atas sebab menyewakan lesen kepada warga asing.

Sementara itu Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT mengambil pendekatan ‘whole of goverment’ bersama-sama agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kekangan bidang kuasa PBT yang terhad kepada pemeriksaan lesen premis dan perniagaan sahaja.

“Kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan memperketatkan syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing-masing bagi mengekang monopoli perniagaan oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Kor Ming berkata, di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil.

Malah katanya, PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja/ pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.

“PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon/ memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

“Ini kerana kadar harga sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan untuk
memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” jelasnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button