Hiburan

Konsert Tribute P. Ramlee, Saloma bakal temui peminat di Insider Satellite Ipoh

IPOH – Pada satu ketika di era 1960an, ketika muzik dan hiburan sedang berkembang, Ipoh menjadi saksi kemunculan legenda muzik, P. Ramlee dan Saloma di House Of Jubli Cabaret.

Kini, setelah 60 tahun, pada tahun lalu, Ipoh telah diberi penghormatan dengan gelaran ‘City of Music’ oleh UNESCO, sebuah pengiktirafan yang memperjuangkan warisan kaya kota ini dalam seni dan budaya muzik.

Sebagai penghargaan kepada sumbangan tak ternilai daripada dua ikon muzik ini, satu Tribute P. Ramlee dan Saloma akan diadakan pada 3 Mac ini, bertempat di Insider Satellite Ipoh.

Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Inspirasi Sosial Ipoh (Inspire Ipoh), Nabil Adlan Jamid berkata, program ini dianjurkan oleh D&A Production dengan kerjasama Inspire Ipoh dan I-Records serta label-label sokongan.

Katanya, acara ini bertujuan untuk memperingati jasa seniman dan seniwati yang karya-karyanya tetap abadi di hati peminat muzik tempatan dan antarabangsa.

“Persembahan muzik tribute ini akan menampilkan artis-artis terkenal termasuk Ezad Aziz, Voice In Public, Mangrove, Eboy Rock, dan penampilan istimewa oleh Ahmad Yasin yang akan membawakan lagu-lagu popular daripada dua ikon ini. Selain itu, petikan daripada filem-filem yang memuatkan lagu-lagu mereka turut akan diputar bagi membangkitkan memori dan nostalgia di kalangan penonton,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Nabil berkata, bagi membangkitkan nostalgia dan menyerikan suasana, penontong yang hadir digalakkan untuk mengenakan busana tradisional atau busana 1960an bagi menyerikan suasana acara.

Katanya lagi, penonton bertuah juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk pencarian Pak Maon terbaik, busana terbaik, dan cabutan bertuah.

Pembelian tiket Tribute P. Ramlee dan Saloma boleh didapati dengan harga promosi RM20 sehingga 2 Mac ini.

Bermula 3 Mac, tiket akan dijual pada harga biasa RM30 di pintu masuk.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai acara ini, sila layari laman sosial rasmi di Instagram @malampesta2024.

Show More

Related Articles

Back to top button