Jenayah & Mahkamah

Akibat dadah, anak tergamak bunuh ibu dengan tukul besi dan kasut keselamatan

SHAH ALAM – Akibat pengaruh dadah, seorang lelaki tergamak membunuh ibunya dengan tukul besi dan kasut keselamatan di kediaman mereka dekat Kampung Jawa di sini pagi tadi

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 9.45 pagi.

Bagaimanapun katanya, suspek yang merupakan seorang tukang gunting diberkas tidak lama selepas kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan wanita warga tempatan berumur 56 tahun dan tinggal bersama suami dan suspek.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum suspek bertindak memukul mangsa menggunakan kasut keselamatan dan tukul besi sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek yang berumur 33 tahun di Taman Sentosa Klang kira-kira jam 11.30 pagi.

“Ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah selain memiliki dua rekod dadah dan satu rekod jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Show More

Related Articles

Back to top button