Berita Semasa

Kenaikan SST 2 peratus, NACCOL akan bincang pengecualian ke atas bil air dan elektrik – Armizan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pengecualian kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak dua peratus yang dikenakan ke atas bil air dan elektrik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan tersebut akan diketengahkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dijadual diadakan pada 20 Mac ini.

“Perkara berkaitan kenaikan SST ini memang dalam (pertimbangan) Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

“Satu kertas khusus untuk melihat kesan (kenaikan SST dibentangkan pada mesyuarat berkenaan) kira-kira dua minggu lalu.

“Insya Allah, perkara dibangkitkan Ayer Hitam (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) akan dibawa untuk dikaji dan dibawa pada Mesyuarat NACCOL untuk pertimbangan selanjutnya pada 20 Mac ini,” katanya.

Armizan berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung cadangan mengekalkan kadar SST dikenakan ke atas bil air dan elektrik pada sesi Pertanyaan bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ka Siong berkata, syor itu dibuat memandangkan air dan elektrik adalah keperluan asas yang akan menyebabkan pelbagai kenaikan jika kadar SST bagi kedua-dua utiliti itu tidak dikekalkan.

“Kalau sudah beri pengecualian kepada telekomunikasi dan parkir, kenapa tidak (dikecualikan kenaikan SST untuk bil air dan elektrik)? (Kadar SST) makanan pun kekal enam peratus.

“Saya merayu kepada menteri, tolonglah. Jika dalam Islam, Jumaat adalah penghulu hari (maka) bil air dan elektrik pula adalah penghulu segala kenaikan,” katanya yang juga Presiden MCA.

Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan mulai tahun depan bagi meluaskan asas hasil negara dan pada masa sama, tidak membebankan majoriti rakyat.

Ia termasuk menaikkan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus, namun tidak meliputi perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Show More

Related Articles

Back to top button