Berita SemasaPM X

PM bidas Annuar Musa dakwa kerajaan gagal kawal ekonomi

KUALA SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan kerajaan gagal mengawal keadaan ekonomi sehingga menyebabkan kenaikan harga barang.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, harga barangan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu adalah lebih tinggi berbanding pada masa ini.

“Bila dimainkan oleh pembangkang dia lupa harga minyak, gula harga barang dua tiga tahun lalu (sewaktu pentadbiran kerajaan terdahulu) melambung lebih tinggi .

“Ada yang sebut saya ingat mantan menteri (Annuar Musa) tidak pernah harga naik melambung seperti mana yang ada sekarang. Betul ke? Tanya dia yang mana?,” soalnya dalam sesi soal jawab di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Mengulas mengenai isu beras putih tempatan yang sukar didapati di pasaran, Mohamad Sabu berkata, kementerianya komited untuk menyelesaikan isu beras menerusi penyelesaian jangka panjang dan pendek.

“Antara punca kekurangan beras adalah Kerajaan India memberhentikan eksport beras putih maka kita menjadi kelam kabut kerana beras kita tidak cukup.

“Sultan Pahang, Sultan Abdullah bersedia menggunakan tanah yang ada di Pahang untuk penanaman padi. Insya-Allah dengan tumbuhnya sawah di Pahang kita akan menambahkan padi dan beras kita pada masa akan datang.

“Sarawak tanah yang luas. Saya jumpa sendiri jumpa Premier Sarawak dan beliau mengatakan mereka menyediakan 50,000 hektar tanah untuk tanaman padi,” katanya dalam sesi dialog yang sama.

Show More

Related Articles

Back to top button