Berita Semasa

Lantikan, penamatan perkhidmatan KP Tourism bidang kuasa Menteri – KSN

KUALA SELANGOR – Bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menjelaskan, perkara itu dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481).

“Sebenarnya bidang kuasa untuk melantik Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah kuasa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, di bawah Akta 481 iaitu kuasa menteri untuk melantik dan menamatkan perkhidmatannya.

“Kadang-kadang kita perlu beri penjelasan kepada rakyat kerana saya difahamkan isu ini berlaku dan ditularkan, dalam surat pewartaan yang dikeluarkan mengatakan ia di bawah bidang kuasa menteri berkenaan, jadi apa-apa penjelasan adalah daripada menteri terbabit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri raptai perasmian penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, semalam.

Mohd Zuki berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar susulan penularan surat bertarikh 22 Februari berkenaan notis penamatan pelantikannya berkuat kuasa Isnin depan.

Surat berkenaan antara lain memaklumkan penamatan perkhidmatan Ammar itu dilakukan selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menafikan Ammar dipecat daripada jawatan itu, sebaliknya beliau diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah atas faktor kemerosotan prestasi Ammar yang disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

Show More

Related Articles

Back to top button