Berita Semasa

Ahmad Zahid lancar PEWARIS

Bakal jadi pemangkin golongan wanita

CYBERJAYA – Penubuhan Projek Penggerak Wanita Risda (PEWARIS) bakal menjadi pemangkin golongan wanita di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif yang digerakkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ini merupakan satu kaedah dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

“Pada masa yang sama, PEWARIS juga berperanan membentuk jaringan sokongan di kalangan masyarakat setempat dengan lebih efektif.

“Saya juga mahu PEWARIS ini bergerak seiring dengan program JELITA@RISDA yang dilancarkan tahun ini iaitu platform TVET (Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional).

“Sebelum ini, saya sudah nyatakan bahawa pada 2027 Kolej Risda akan melahirkan seramai 150,000 graduan,” kata Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis pelancaran PEWARIS, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.

Ahmad Zahid kemudiannya berkata,  beliau yakin bahawa sasaran itu dapat dicapai kerana kursus yang dijalankan sesuai dengan kehendak pasaran dan mampu melahirkan tenaga kerja mengikut pasaran.

“Jadi, saya mahu PEWARIS menjadi pemangkin kepada kursus yang akan diwujudkan menerusi JELITA@RISDA yang akan bermula nanti.

“PEWARIS juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seperti Felcra Berhad dan Majlis Amanah Rakyat,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 194 wakil PEWARIS yang terdiri daripada seorang ketua, 12 orang penyelaras, dan wakil di setiap bahagian Parlimen.

Show More

Related Articles

Back to top button