Berita Semasa

Letupan tong gas, dua mangsa maut dikenal pasti warga asing

PUCHONG – Dua mangsa yang maut dalam kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong Utama dekat sini hari ini, dikenal pasti sebagai warga asing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, kedua-dua mangsa adalah lelaki yang dianggarkan berusia 30-an, namun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Kedua-dua mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serdang bagi proses bedah siasat.

“Dalam kejadian terbabit, dua lagi mangsa iaitu rakyat tempatan cedera parah dan ringan turut dirawat di hospital sama,” katanya dalam satu sidang akhbar di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Menurut Mohd Fairus, siasatan awal turut mendapati premis tersebut merupakan sebuah kilang besi yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu.

Pemeriksaan yang dijalankan mendapati kilang terbabit mempunyai lesen perniagaan di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurut beliau, kejadian tersebut membabitkan bangunan lot kedai satu tingkat iaitu kilang besi.

“Kita akan mengambil keterangan pemilik premis bagi menjalankan siasatan lanjut dan mangsa dikategorikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Pemeriksaan di lokasi kejadian terdapat beberapa tong gas ditemukan.

“Ketika kejadian, terdapat empat pekerja yang sedang bekerja dalam premis tersebut,” ujarnya.

Setakat ini, tambahnya, punca kejadian dipercayai akibat satu tong gas acetylene yang meletup.

Show More

Related Articles

Back to top button