Berita Semasa

PPj lancar pas bulanan tanpa had untuk bas NadiPutra

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan pas bulanan perjalanan tanpa had Nadi30 dan Nadi10 bagi membantu meringankan beban mereka yang menggunakan perkhidmatan bas Nadiputra Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pengenalan dua jenis kad itu juga merupakan salah satu daripada inisiatif untuk mengurangkan karbon daripada kenderaan awam khususnya kenderaan persendirian.

“Langkah ini juga sejajar dengan inisiatif Putrajaya Model Bandar Rendah Karbon 2030 di mana kita hendak menggalakkan warga Putrajaya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas.

“Nadi10 adalah untuk kategori warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah rendah dan menengah manakala, Nadi30 adalah untuk semua pengguna perkhidmatan NadiPutra supaya mereka boleh menggunakan kad tersebut untuk perjalanan sekitar Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Aspirasi 2024: Bersama Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, pas bulanan tersebut turut memberi jaminan penjimatan perbelanjaan tambang secara bulanan, khususnya kepada pengguna tetap perkhidmatan bas Nadiputra.

Pada masa sama, ia juga memberi peluang kepada orang awam untuk berurusan dan bersiar-siar di sekitar Putrajaya dengan tambang tanpa had.

Sementara itu, Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, maklumat lanjut dan cara-cara permohonan kad tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui portal www.ppj.gov.my, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kemudahan itu hanya disediakan untuk warganegara Malaysia dan ssetiap individu hanya boleh memiliki satu kad dan kad yang dimohon kemudiannya akan dihantar ke alamat seperti tertera di borang permohonan.

Show More

Related Articles

Back to top button