Berita Semasa

Kementerian Komunikasi pertimbang rangka sistem jamin hak cipta penyedia kandungan

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi bercadang untuk membina satu sistem bagi menjamin hak cipta sesebuah kandungan khususnya dalam portal berita daripada diambil pihak tertentu tanpa kebenaran.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, sistem tersebut akan membolehkan pengadu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diambil tindakan.

“Bahan berita yang diambil dan dimuat naik dalam laman web lain kebiasaanya saya tidak pasti sama ada kebenaran ataupun tidak daripada pemilik asal.

“Saya lihat kita perlu ada satu sistem asas yang mana pemilik asal boleh buat aduan dan pihak MCMC boleh ambil tindakan.

“Belum lagi kita wujudkan tapi InsyaAllah boleh dibangunkan satu sistem yang mudah supaya hak milik bagi bahan itu dapat kita jamin untuk pemilik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan portal berita yang mengambil bahan berita tanpa memberikan ‘kredit’ terhadap pemilik asal kandungan itu.

Terdahulu, Fahmi merasmikan Pameran Percubaan Teknologi Maxis 5G-Advanced pertama di Malaysia dan Asia Tenggara di ibu negara hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata isu hak cipta ini bukan sahaja mendatangkan kesan kepada e-dagang tapi turut memberi kesan terhadap kesahihan berita itu sendiri.

“Berita yang telah diambil tanpa kebenaran daripada pihak asal. Ini akan menyebabkan maklumat itu disalah tafsir atau diubah suai seolah-olah itulah yang dilaporkan oleh pihak asal,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button