Berita Semasa

Tiada wakil NGO terlibat dalam rekod keganasan seperti dakwaan FBI

PUTRAJAYA – Kesemua 359 individu daripada 53 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang terlibat dalam menyalurkan bantuan ke negara Asia Barat bebas daripada sebarang aktiviti keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Serik Saifuddin Nasution berkata, semakan yang dilakukan mendapati tidak ada seorang pun yang mewakili NGO dalam Ops Ihsan mempunyai rekod keganasan seperti didakwa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), baru-baru ini

“Ada semua 359 individu daripada 53 NGO dalam Ops Ihsan. Dalam rekod polis tidak ada seorang pun ada rekod aktiviti keganasan.

“Hal yang timbul ini dalam rekod mereka (FBI),” katanya dalam sidang media hari ini.

Saifuddin berkata, penegasan itu penting kerana Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang berkaitan hal keselamatan.

“Selain itu kita juga ada rekod yang kompeten dalam tapisan dilakukan,” katanya.

FBI baru-baru ini menyenaraikan tiga pemimpin daripada NGO Islam di negara ini dalam Maklumat Pemantauan Pengganas yang dikendalikan oleh Pusat Pemantauan Pengganas (TSC) di Amerika Syarikat.

Saifuddin berkata, penyenaraian itu berkait dengan usaha Amerika Syarikat untuk mengadakan satu rang undang-undang berkenaan pencegahan pembiayaan antarabangsa kepada Hamas.

Sementara itu beliau memberitahu, polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri untuk memantau aktiviti tokoh agama yang mendakwa berketurunan Nabi Muhammad S.A.W di negara ini.

“Sekiranya ada apa-apa aktiviti yang dilakukan bercanggah dengan undang-undang enakmen negeri, pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk mengambil tindakan yang sesuai.

“Buat masa ini kita meneruskan pemantauan sekiranya wujud unsur yang boleh menjejas dan mengancam keselamatan awam,” katanya.

Saifuddin berkata, lelaki warga Magribi itu memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis dan memiliki pas lawatan sosial yang membolehkannya tinggal sehingga 90 hari di negara ini.

Tambahnya, tiada laporan polis yang dikemukakan terhadap lelaki berkenaan setakat.

Show More

Related Articles

Back to top button