Pemandu lori dipukul 30 individu bimbang keselamatan diri, keluarga diancam
SEPANG – “Kalau hari ini saya pukul kamu tidak mati, kita ambil senapang tembak kamu sampai mati,” demikian ugutan yang diberikan ke atas seorang pemandu lori yang dipukul 30 individu dalam satu kejadian di Kampung Baru Dengkil Sabtu lalu.
Mangsa, Teo Chit Keong, 44, yang sudah keluar dari lokap polis petang Isnin lalu berkata pihaknya mahu polis mengambil tindakan dengan kadar segera terhadap individu yang memukulnya.
Jelas Chit Keong, dia yang bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya bukan sahaja dipukul malah turut diugut bunuh dengan senapang oleh penyerang yang juga jirannya.
“Saya tidak puas hati kenapa saya yang menjadi mangsa pukul tetapi telah ditahan di dalam lokap oleh pihak polis selama satu malam.
“Saya memang takut. Satu kampung tahu yang dia (penyerang) memang ada senapang. Saya terpaksa lari sejauh 1 kilometer ke balai polis (semasa kejadian pergaduhan) untuk buat laporan.
“Saya tinggal berdekatan dengan rumah individu berkenaan. Saya mahu polis segera mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan saya sekeluarga terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Tambah Chit Keong, pihaknya juga juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kesemua individu yang memukulnya itu.
Terdahulu, sebuah keluarga berang apabila dicemuh dengan berkata, “parkir kereta tengah jalan macam ini tak ada otak ke” susulan kenderaannya telah menghalang laluan keluar rumah jirannya.
Akibat tidak berpuas hati, penyerang kemudian menyerbu rumah mangsa bersama kira-kira 30 orang dan memukul mangsa.
Mangsa kemudian cedera di bahagian kepala, hidung dan lebam di muka.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan pada Isnin lalu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148/506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.