Berita Semasa

KPKT sasar pembinaan 100 Taman Rekreasi MADANI

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mensasarkan pembinaan 100 buah Taman Rekreasi MADANI melibatkan peruntukan berjumlah RM50 juta di seluruh negara tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Panel of Experts (POE) KPKT Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikannya semalam.

“Dalam sektor perbandaran mampan, KPKT telah menyasarkan untuk membina 100 buah kawasan hijau awam di seluruh negara pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM50 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kor Ming berkata, inisiatif itu akan dilaksana dengan kerjasama rentas antaranya Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“KPKT dalam proses mempercepatkan proses pewartaan kawasan lapang bagi memastikan kawasan lapang sedia ada tidak ditukar guna.”

“Menurut statistik kementerian tahun 2022, Malaysia mempunyai seluas 23,433 hektar kawasan lapang yang berpotensi menjadikan kawasan hijau awam,” ujarnya.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk POE KPKT semalam merupakan inisiatif strategik KPKT untuk
menggembleng pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pelbagai pihak dalam penentuan dasar dan program terbaik untuk rakyat.

“Ini adalah komitmen POE dalam menyokong KPKT bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI ke arah
pembangunan yang lebih mampan.

“KPKT juga akan terus melaksanakan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi memantapkan lagi pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button