Berita Semasa

Fahmi nafi sistem PADU digodam

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menolak dakwaan forum Lowyat.net yang menyatakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mengalami kebocoarn maklumat akibat digodam.

“Malam tadi ada laporan maklumat yang dimuat naik dalam satu forum mengenai dakwaan sistem PADU bolos dan data telah dicuri.

“Tapi setelah diteliti maklumat yang disampaikan dalam laman itu didapati ia bukan pangkalan data utama PADU tetapi satu sub unit kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya pada Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, forum tersebut melaporkan penggodam dikenali R00TK1T mendakwa berjaya mencuri data daripada ‘Padu’ dan menceroboh infrastruktur keselamatan LPPKN.

Penggodam turut mendakwa, berjaya mencuri data sebanyak 27GB daripada pelayan tersebut.

Lowyat.net kemudian menjelaskan bahawa ‘Padu’ yang dikatakan digodam R00TK1T merujuk kepada Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan LPPKN.

Mengulas lanjut, Fahmi mengingatkan semua pihak khususnya pengamal media agar menyemak fakta terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesuatu berita.

“Saya mohon dalam kita menyebar maklumat kita kena pastikan maklumat itu kita sahkan dengan pihak tertentu terlebih dahulu.

“Jadi saya harap rakan-rakan media ambil kesempatan ini. Saya tahu kita berlumba-lumba untuk menyampaikan maklumat.

“Bila saya sebut sejumlah media tempatan, media dalam talian, para pembaca kita adalah ramai jadi kita kena pertimbang untuk seimbangkan tajuk berita yang boleh menarik perhatian dengan yang boleh menjurus ke arah salah faham dan kekeliruan,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button