Berita Semasa

Kemaskini prestasi- PM arah MAIWP siapkan laporan dalam masa sebulan

PM mahu MAIWP jadi penanda aras kepada negeri lain

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi masa sebulan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengemukakan laporan lengkap pencapaian tahun lalu dan hala tuju yang baharu.

Beliau juga mahu MAIWP menjadi contoh dan teladan kepada pengurusan majlis agama di negeri lain terutama dalam urusan kutipan zakat dan penyelarasan bantuan untuk golongan memerlukan.

“Sebab itu dalam seluruh kegiatan MAIWP termasuk kegiatan zakat saya minta pengurusan memberikan laporan terperinci apa yang dilakukan setahun sebelum dan langkah-langkah baru yang boleh meningkatkan prestasi sebagai contoh dan teladan kepada negeri-negeri lain.

“Perlu juga hala tuju baru, kaedah-kaedah baru membaiki apa-apa juga kelemahan kerana zakat ini institusi yang sangat unggul dalam pembangunan umat” katanya ketika merasmikan Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

Anwar juga mahu MAIWP melaksanakan aspek tata kelola yang baik dan menghentikan segala perbelanjaan yang tidak perlu, bagi memastikan institusi zakat menjadi mercu tanda kebanggaan ummah.

“Perlu ada pelan hala tuju untuk meningkatkan prestasi dan mengatasi kelemahan yang ada.

“Saya mahu MAIWP jadi majlis agama islam terbaik, pengurusan terbaik. Semastinya setiap sen wang rakyat digunakan sebaiknya. Saya mahu MAIWP menjadi mercu tanda majlis agama Islam,” katanya.

Dalam memperkasakan pengurusan agihan zakat, Perdana Menteri juga mengambil contoh pentadbiran zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq yang mengisytiharkan perang kepada mereka (muslim) yang enggan menunaikan zakat.

“Jangan kita lupa pertama kali dalam sejarah, perang diisytiharkan semata-mata untuk mempertahankan institusi zakat dan membela golongan miskin,” katanya.

Anwar Ibrahim berucap ketika merasmikan Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

Justeru beliau mahu pengurusan zakat diurus dengan cermat termasuk penyelarasan yang sistematik dengan agensi-agensi yang lain.

“Sebab itu saya kata di Pulau Pinang, kita kutip begitu banyak wang zakat tapi masih ada kelompok miskin yang tidak dapat makan, tiada uniform sekolah masih tidak diuruskan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada MAIWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membantu proses (bantuan) yang sangat berhasil bersama agensi-agensi yang lain,” katanya.

Anwar berkata, penekanan isu bantuan kepada golongan miskin juga bertepatan dengan usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Alhamudlillah, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka telah memberi laporan yang dapat menyelesaikan masalah ini.

“Itu untuk tahun 2023, tahun ini masih ada jadi ia harus disusuli dan ditingkatkan,” katanya.

Anwar Ibrahim menyerahkan bantuan kepada golongan memerlukan pada Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button