Berita Semasa

Isu bekalan beras dibincang dalam Naccol Jumaat ini

PAPAR – Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan isu kos sara hidup terutama bekalan beras.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata kementeriannya selaku urusetia Naccol mendapat pengesahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa satu daripada perkara diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara.

“Sejak berkuatkuasanya Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), kuasa kawal selia padi dan beras termasuk berkaitan hala tuju bekalan dan harga terletak bawah KPKM.

“Sebarang perubahan melibatkan dasar dan program kerajaan terkait dengan industri padi dan beras adalah bawah tanggungjawab menteri pertanian dan keterjaminan makanan, sejajar perintah dikeluarkan di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Majlis Berkhatan Peringkat DUN Kawang, melibatkan 260 peserta dan lapan masjid.

Armizan berkata, sebarang pengumuman rasmi berkaitan beras negara akan dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu atau wakil dipertanggungjawabkan selepas keputusan dibuat Naccol, dan kemudian dibawa kepada Jemaah Menteri jika keputusan itu besar serta melibatkan implikasi kewangan.

Pada masa sama, beliau berkata dengan kerjasama Kementerian Ekonomi iaitu melalui Jabatan Perangkaan, pihaknya juga akan mengangkat mengenai pertimbangan mewujudkan indikator kos sara hidup pada mesyuarat berkenaan.

“Jika tidak sempat dibincangkan pada mesyuarat Jumaat ini kita akan bawa pada mesyuarat Naccol Mac nanti. Kita ada indeks harga pengguna tetapi sekiranya ada indikator kos sara hidup ini, kita akan dapat membuat penilaian yang lebih menyeluruh termasuk dalam konteks pengagihan bantuan kepada rakyat.

“Kita tahu setiap daerah atau wilayah, kos sara hidup adalah berbeza…harga barang termasuk kos logistik berbeza. Oleh itu kita perlu wujudkan indikator berkenaan, namun untuk mewujudkan indikator itu kita perlu melibatkan dasar kerana kita perlu melihat apa komponen yang akan dimasukkan dalam indikator berkenaan,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button