
Akhir SELBATC: Zii Jia tidak dapat diturunkan, Haikal Nazri jadi pemain bidan terjun
KUALA LUMPUR – Pemain beregu negara, Haikal Nazri terpaksa menjadi pemain perseorangan bidan terjun selepas Lee Zii Jia tidak dapat diturunkan dalam perlawanan akhir Kejohanan Berpasukan Piala Asia menentang China petang ini.
Menurut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya, pemain perseorangan utama negara itu menghadapi masalah sinus hingga mengganggu tahap kesihatannya.
“Selepas perlawanan semalam, Zii Jia menghadapi kesukaran untuk bernafas akibat sinus dan tidak dapat pulih sepenuhnya untuk perlawanan akhir petang ini,” katanya.
Semalam Zii Jia yang masih belum pulih daripada penyakit dihadapinya beraksi cemerlang menewaskan pemain perseorangan utama Jepun, Kenta Nishimoto 21-18 21-15.
Pada perlawanan menentang Singapura di suku akhir ketiadaan Zii Jia digantikan dengan Ng Tze Yong bagaimanapun tidak sampai beberapa minit pemain perseorangan kedua negara itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Disebabkan ketiadaan pemain perseorangan yang mencukupi Haikal yang beraksi sebagai pemain beregu ketiga negara akan diturunkan sebagai pemain perseorangan ketiga negara dan bakal menggalas tugas besar jika kedudukan terikat 2-2.

Sementara itu perseorangan lelaki utama akan digalas oleh Leong Jun Hao manakala perseorangan kedua digalas Eogene Ewe.
Untuk beregu Malaysia menurunkan pasangan terkuat iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Izzuddin-Goh Sze Fei masing-masing sebagai beregu pertama dan kedua.
Perlawanan Malaysia bertemu China akan bermula pukul 4 petang ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |