Berita Semasa

Menteri Agama beri peringatan hati-hati ulas isu Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu penghakiman Mahkamah Persekutuan yang semakin mendapat perhatian sejakakhir-akhir ini.

Hari ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dilaporkan telah membuat laporan polis secara serentak seluruh Malaysia.

Ia susulan video yang dimuat naik oleh Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, di Youtube yang mendapat kecaman hebat daripada warganet kerana didakwa mempersendakan agama serta menghina mahkamah.

Sehubungan dengan itu, Mohd Na’im berkata, adalah penting untuk sesiapa sahaja mengulas isu berkenaan berlandaskan fakta bagi mengelak daripada diambil tindakan undang-undang.

“Saya dapati ada yang buat video parodi berhubung isu itu dan kemudian kata tak betul, lepas itu tarik balik.

“Selepas sedar ada laporan polis dibuat baru tahu benda (video parodi) itu tak betul. Ini akan menimbulkan keresahan kepada rakyat.

“Apabila kita nak bercakap sesuatu, mestilah didasarkan kepada fakta bukan nak dapatkan populariti yang akhirnya menjerat diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas dan Surau Bertaraf 5 Bintang peringkat Wilayah Mokhtar di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 di sini hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button