Berita SemasaLuar Negara

Israel mahu ‘kosongkan’ Rafah sebelum lakukan serangan

KAHERAH – Israel akan meneruskan serangan terhadap Hamas di Rafah, selepas membenarkan orang awam mengosongkan kawasan itu, kata Perdana Israel, Menteri Benjamin Netanhayu.

Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas rundingan di Kaherah untuk kemungkinan gencatan senjata dan penyerahan tebusan yang ditawan Hamas berakhir dengan tiada kata sepakat dicapai.

Netanhayu yang kini berada di bawah tekanan antarabangsa untuk menangguhkan serangan itu, tidak memberikan sebarang petunjuk terhadap bila serangan itu akan berlaku atau ke mana ratusan ribu orang yang kini bersesak di Rafah akan ditempatkan.

“Kami akan berjuang sehingga kemenangan lengkap dan ini termasuk tindakan menyerang Rafah, selepas kami membenarkan penduduk awam meninggalkan zon pertempuran,” kata Netanyahu dalam akaun Telegramnya.

Terdahulu, pejabat Netanyahu berkata Hamas tidak mengemukakan sebarang tawaran baharu untuk perjanjian tebusan dalam rundingan di Kaherah dan Israel tidak akan menerima “permintaan menggelikan” Hamas itu.

“Perubahan dalam kedudukan Hamas akan memungkinkan untuk kami bergerak ke hadapan dalam rundingan,” katanya dalam kenyataan itu.

Saudara-mara tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas berkata mereka akan mengadakan protes di ibu pejabat pertahanan Israel susulan keputusan rundingan di Kaherah itu.

Tindakan itu “sama dengan hukuman mati” bagi 134 tebusan di terowong Hamas, kata kumpulan itu, lapor Reuters.

Show More

Related Articles

Back to top button