AgamaBerita Semasa

Hormati keputusan mahkamah, cari jalan perluaskan kuasa Badan Perundangan Negeri – Sultan Selangor

PUTRAJAYA – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 pada 9 Februari lalu.

Baginda yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-71 di sini hari ini, bertitah kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi oleh rakyat di negara ini.

“Apa yang lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan (ambiguity),” titah baginda.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada 9 Februari lalu membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan oleh seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Berdasarkan penghakiman, Mahkamah Persekutuan mendapati Badan Perundangan negeri Kelantan tiada kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan.

Baginda bertitah, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini.

Justeru, Baginda menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas itu dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal.

Dalam pada itu, Baginda menyeru semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan.

“Beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulamak dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab di dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.

“Kita tidak perlu berbalah secara terbuka di dalam perkara-perkara yang boleh kita selesaikan dengan cara bermesyuwarah dan secara tertutup.

“Kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

“Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan islam dan para alim ulamak dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua.

“Oleh itu adalah menjadi harapan Beta agar saranan dan nasihat Beta ini dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda turut berharap amalan melantik Menteri Agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang ini dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

“Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang Menteri Agama,” titah Baginda lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button