Berita SemasaLuar Negara

Operasi ketenteraan di Rafah boleh ‘membawa kepada penyembelihan’ , tegas PBB

GAZA – Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths menegaskan sebarang pencerobohan darat Israel ke atas Rafah, akan menjadikan bantuan kemanusiaan hampir mustahil untuk disalurkan.

“Operasi ketenteraan di Rafah boleh membawa kepada penyembelihan di Gaza. Mereka juga boleh meninggalkan operasi kemanusiaan yang sudah ‘rapuh di pintu kematian’.

“Kami kekurangan jaminan keselamatan, bekalan bantuan dan kapasiti kakitangan untuk mengekalkan operasi ini,” kata Griffiths dalam satu kenyataan.

Semalam, rundingan melibatkan Amerika Syarikat (AS), Mesir, Israel dan Qatar bagi gencatan senjata Gaza berakhir tanpa kata sepakat.

Bandar Rafah, yang jumlah penduduknya sebelum perang adalah kira-kira 300,000, kini dipenuhi dengan gelandangan yang tinggal di khemah-khemah dan tempat perlindungan bagi melarikan diri dari pengeboman Israel di utara kawasan Gaza.

Kereta kebal Israel membedil sektor timur Rafah semalaman, menyebabkan gelombang panik dan orang ramai telah mula meninggalkan Rafah selepas serangan udara Israel sejak beberapa hari kebelakangan ini, kata penduduk.

“Malam tadi di Rafah adalah sangat sukar. Kami akan kembali ke Al-Maghazi kerana ketakutan – berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain,” kata Nahla Jarwan, salah seorang penduduk.

Rafah berjiran dengan Mesir, namun kerajaan Mesir telah menjelaskan bahawa ia tidak akan membenarkan penghijrahan pelarian melintasi sempadan Gaza-Mesir.

Pegawai kesihatan Gaza mengumumkan 133 kematian baharu Palestin dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 28,473 terbunuh dan 68,146 cedera sejak 7 Oktober.

Ramai orang lain dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah merentasi Semenanjung Gaza yang padat dengan penduduk.

Lebih buruk, bekalan makanan, air dan keperluan lain semakin kehabisan dan penyakit semakin merebak dengan kira-kira separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini tersepit ke Rafah.

“Memandangkan Israel berkata mereka akan menyerang Rafah tidak lama lagi…, kami membaca doa terakhir kami setiap malam.

“Setiap malam kami mengucapkan selamat tinggal kepada satu sama lain dan kepada saudara-mara di luar Rafah,” kata Aya, 30, yang tinggal di khemah bersama ibu, nenek dan lima adik beradiknya.

Show More

Related Articles

Back to top button