Sukan

Nazmi terpilih antara calon pengadil Piala Dunia 2026

KUALA LUMPUR – Pengadil dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin telah dipilih menyertai kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ iaitu sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Nazmi yang mula menceburi bidang pengadil bola sepak sejak tahun 2010 merupakan pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan Piala Juara Liga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengunakan Video Assistant Referee (VAR) ketika perlawanan melibatkan Buriram United menentang kelab China, Zhejiang FC.

“Sepanjang tahun 2023 juga, Nazmi bersama dua pembantunya iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid telah mengadili enam perlawanan AFC Champions League yang mengunakan VAR.

“Selain itu, Nazmi turut dijemput untuk mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi 2023.

“Selaras dengan penetapan syarat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC yang mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA wajib memiliki lesen VAR, maka FAM telah memulakan usaha untuk memperoleh lesen pengadil VAR melalui program pintas latihan VAR,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Nazmi juga dihantar ke Arab Saudi bagi mendapatkan Lesen VAR dan pada Ogos 2023 dan diiktiraf oleh FIFA sebagai pengadil VAR pertama di Malaysia.

“Seterusnya, dengan kelayakan tersebut di samping prestasi cemerlang Nazmi di Piala Asia B-20 2023 di Uzbekistan pada Mac 2023 yang mana beliau dipilih sebagai pengadil Final telah membolehkan Nazmi bersama dua pembantunya, Zairul dan Arif Shamil terpilih ke Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini.

“Sekali lagi sejarah tercipta apabila Nazmi bersama dua pembantunya itu telah dipilih untuk mengadili perlawanan peringkat kumpulan, Iraq lwn Vietnam dan perlawanan pusingan 16 terbaik, Uzbekistan lwn Thailand,” katanya.

Selain itu, katanya, Zairul juga telah dipilih sebagai Penolong Pengadil 2 bagi perlawanan separuh akhir, Iran lawan Qatar.

Ujarnya, prestasi cemerlang Nazmi dan dua pembantunya telah mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC, yang mana ia membolehkan Nazmi dipilih secara merit sebagai ‘FIFA World Cup Candidate 2026’.

“Nazmi telah dipilih untuk menyertai Kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari 2024 di Qatar.

“Nazmi juga akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran FIFA dan AFC, termasuk perlawanan-perlawanan anjuran FIFA dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button